Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA solat jemaah BERJAYA MENCAPAI 320 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI SAHIH MUSLIM SUNAN AT-TERMIZI

31  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0529.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Pada suatu ketika, Rasulullah saw. mengimami kami solat pada salah satu dua solat petang, mungkin solat Zohor atau solat Asar. Setelah dua rakaat beliau memberi salam, kemudian beliau pergi ke sebatang pohon kurma di arah kiblat masjid, lalu beliau bersandar ke pohon itu, kelihatan seperti orang marah. Di antara jemaah terdapat Abu Bakar dan 'Umar, namun keduanya takut berbicara. Orang-orang yang suka cepat-cepat telah keluar sambil berujar, "Solat dipendekkan." Tiba-tiba Dzulyadain berdiri seraya berkata, "Ya, Rasulullah! Apakah solat dipendekkan ataukah anda lupa?" Nabi saw. menengok ke kanan dan ke kiri, lalu bersabda: "Betulkah apa yang dikatakan Dzulyadain itu?" Jawab mereka, "Betul, ya Rasulullah! Anda solat hanya dua rakaat." Kerana itu Nabi saw. solat dua rakaat lagi, lalu memberi salam. Sesudah itu beliau takbir, lalu sujud. Kemudian takbir, lalu bangkit. Kemudian takbir, lalu sujud lagi. Sesudah itu takbir, lalu bangkit. "

32  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0368.
Abu Hurairah r.a. memberitakan, bahawa Rasulullah saw. bersabda: "solat seseorang dengan berjemaah, pahalanya berlipat ganda daripada solatnya seorang diri di rumahnya atau di pasar, dua puluh lima kali ganda. Sebabnya ialah, kerana apabila seseorang berwuduk, kemudian disempurnakannya wuduknya itu, lalu dia pergi ke masjid dengan niat hanya untuk menunaikan solat, maka tidak satu langkah pun langkah yang dilangkahkannya, melainkan ditinggikan Allah darjatnya satu tingkat untuk setiap langkah, dan dihapuskan pula kesalahannya. Apabila dia telah solat, maka malaikat sentiasa mendoakannya selama dia masih berada di tempatnya solat, katanya: "Wahai, Allah! Limpahkan kepadanya kebaikan dan kasihilah dia!" Dan seseorang kamu sentiasa dianggap seperti dalam solat selama dia menunggu-nunggu waktu solat."

33  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0374.
Dari Sahal bin Sa'ad As Sa'idi r.a., katanya: "Rasulullah saw. pergi ke kampung Bani 'Umar bin 'Auf untuk mengadakan perdamaian sesama mereka. Kebetulan waktu solat tiba. Muadzin datang kepada Abu Bakar dan berkata, "Mahukah anda mengimami solat? Biarlah aku yang qamat." "Baiklah!" jawab Abu Bakar. Ketika Abu Bakar sedang solat, tiba-tiba Rasulullah saw. datang dan terus maju hingga sampai ke shaf pertama). Orang-orang bertepuk, tetapi Abu Bakar tidak menoleh. Ketika tepukan tangan bertambah banyak barulah dia menoleh, dan terlihat kepada Rasulullah saw. Rasulullah saw. memberi isyarat kepada Abu Bakar supaya dia tetap di tempatnya. Tetapi Abu Bakar mengangkat tangannya dari memuji Allah 'Azza wa Jalla atas suruhan Rasulullah saw. itu. Kemudian dia mundur hingga sejajar dengan shaf, sedangkan Rasulullah saw. maju ke depan mengimami solat selanjutnya. Setelah selesai solat beliau bertanya kepada Abu Bakar, "Hai, Abu Bakar! Apa sebabnya anda tidak mahu ku suruh tetap di tempatmu menjadi imam?" Jawab Abu Bakar, "Tidaklah patut bagi anak Abu Quhafah untuk solat mengimami Rasulullah saw." Kemudian beliau bertanya kepada jemaah, "Aku lihat anda semua ramai bertepuk tangan, mengapa? Siapa yang hendak mengingatkan sesuatu dalam solat hendaklah dia tasbih (membaca 'subhanallah'), kerana apabila dia tasbih orang akan melihat kepadanya. Sedangkan bagi kaum wanita bertepuk tangan."

34  
Hadis Sahih Muslim Jilid 4. Hadis Nombor 2376.
Dari Ka'ab bin Malik r.a.. dia menceritakan tentang dirinya ketika dia tertinggal (tidak ikut berperang) dari Rasulullah saw. dalam peperangan Tabuk. Kata Ka'ab bin Malik. "Aku tidak pernah tertinggal dari Rasulullah saw. dalam setiap peperangan yang dipimpin sendiri oleh beliau, kecuali dalam peperangan Tabuk. Selain dari itu, aku memang tertinggal pula dalam peperangan Badar. Tetapi tidak seorang pun dapat disalahkan bila tertinggal ketika itu, kerana Rasulullah saw. pergi dengan maksud hendak mencegat kafilah Quraisy. Namun Allah Ta'ala telah menghadapkan mereka dengan musuh tanpa diduga lebih dahulu. Dan aku telah baiat bersama Rasulullah saw. pada malam Aqabah di mana kami telah bersumpah setia untuk Islam. Dan aku tidak suka seandainya malam Bai'at Aqabah itu ditukar dengan perang Badar. Sekalipun Badar lebih terkenal dari Aqabah di kalangan orang banyak. Cerita mengenai sebabnya aku tertinggal dari Rasulullah saw. dalam perang Tabuk ialah : "Sesungguhnya aku belum pernah sedikit jua pun merasa diri ku lebih kuat dan lebih senang dan keadaan ku ketika tertinggal dalam peperangan itu. Demi Allah, aku belum pernah menyiapkan dua kenderaan kecuali untuk peperangan itu. Rasulullah saw. merencanakan penyerangan pada musim panas yang terik, menempuh perjalanan jauh serta menghadapi jumlah musuh yang banyak. Kerana itu Rasulullah saw. menjelaskan kepada kaum muslimin tugas berat yang bakal mereka hadapi, agar mereka bersiap-siap dengan sungguh-sungguh menghadapi peperangan tersebut dan Rasulullah memberitahukan sasaran yang dituju. Kaum muslimin di bawah pimpinan Rasulullah saw. ketika itu cukup banyak, tetapi tidak ada suatu daftar yang mencatat nama-nama dan jumlah mereka. Kerana itu, bila sewaktu waktu seseorang ingin menghilang (tidak ikut berperang), hal itu boleh saja terjadi. Kerana dia mengira bahawa Rasulullah saw. tidak akan mengetahuinya, selama tidak ada wahyu memberitahu beliau. Rasulullah saw. mengadakan penyerangan dalam peperangan itu dalam musim buah-buahan dan cuaca berawan. Sebenarnya hati ku lebih condong hendak turut berperang. Rasulullah saw. dan kaum muslimin telah siap-siap hendak berangkat. Aku berencana akan berkemas bersama-sama mereka besok pagi. Setelah aku pulang ternyata aku tidak berbuat apa-apa, sambil berkata dalam hati ku, "Aku sanggup menyelesaikannya sewaktu-waktu." Ternyata hal itu berkelanjutan sedemikian rupa, sedangkan orang banyak sungguh-sungguh telah siap. Besok Subuh Rasulullah dan kaum muslimin berangkat pagi-pagi sekali, sedangkan aku belum berkemas juga. Kerana itu aku segera pulang hendak berkemas, tetapi sampai di rumah aku tidak berbuat apa-apa, sehingga pasukan berangkat seluruhnya menuju medan perang. Aku bermaksud hendak menyusul mereka, tetapi apa boleh buat yang demikian tidak ditakdirkan Allah bagi ku. Ketika aku mulai berkemas dan keluar hendak menyusul Rasulullah saw. alangkah sedihnya hati ku, kerana tidak seorang jua pun teman yang kelihatan oleh ku kecuali orang-orang munafik atau orang-orang lemah yang telah dimaafkan Allah Ta'ala tidak ikut berperang. Rasulullah saw. tidak menyebut-nyebut nama ku hingga sampai di Tabuk. Setelah sampai, ketika beliau duduk di tengah-tengah kaum muslimin, barulah beliau menanyakan, "Apa kerja Ka'ab bin Malik?" Seorang lelaki dari Bani Salamah menjawab, "Ya, Rasulullah! Dia terhalang kerana merasa sayang pada selimutnya." Maka berkata Mu'adz bin Jabal, "Jahat sekali ucapan mu itu! Demi Allah, ya Rasulullah! Setahu kami selama ini dia adalah orang baik." Rasulullah saw. diam saja. Beliau melihat samar-samar bayangan seseorang berpakaian putih lalu hilang ditelan fatamorgana. Maka berkata Rasulullah saw., "Engkau Abu Khaitsamah!" Kiranya dia memang Abu Khitsamah Al Anshari yang pernah bersedekah segantang kurma, lalu diejek oleh orang-orang munafik. Cerita Ka'ab bin Malik selanjutnya: "Tatkala aku mendengar berita bahawa Rasulullah saw. telah berangkat dari Tabuk hendak pulang ke Madinah, timbullah rasa takut ku kerana kesalahan ku tidak turut berperang. Oleh sebab itu aku berusaha mencari jalan agar aku terhindar dari kemarahan beliau. Lalu aku minta pendapat-pendapat keluarga ku. Tetapi tatkala aku mendengar bahawa beliau telah tiba, maka hilanglah dari ingatan ku segala fikiran buruk itu. Aku mengerti benar bahawa aku tidak akan lepas sedikit jua pun dari hukuman, walaupun dengan berbagai alasan. Kerana itu aku bertekad hendak mengaku terus terang atas kesalahan ku. Pagi-pagi waktu Subuh, Rasulullah tiba. Seperti biasa, apabila beliau tiba dari suatu perjalanan, beliau langsung ke masjid lalu solat dua rakaat, kemudian duduk di tengah-tengah orang banyak. Maka ketika itu datanglah orang-orang yang tidak turut berperang mengemukakan alasan-alasan (uzur) mereka kepada beliau dan bersumpah kepadanya. Semuanya berjumlah lebih kurang lapan puluh orang. Rasulullah saw. menerima alasan atau sumpah-sumpah mereka yang nampak nyata dan memohonkan ampun bagi mereka. Sedangkan hal-hal yang tersembunyi atau yang mereka rahsiakan, beliau serahkan kepada Allah Ta'ala. Kini tibalah giliran ku. Ketika aku memberi salam kepada beliau, beliau menyambut salam ku dengan senyum kecut, senyum kemarahan. Lalu beliau berkata, "Kemari!" Aku datang menghampiri lalu duduk di hadapan beliau. Tanya beliau, "Mengapa kamu tidak turut berperang. Bukankah kamu telah membeli kenderaan?" Jawab ku, "Ya, Rasulullah! Demi Allah, seandainya aku berhadapan dengan orang selain Anda dari penduduk dunia ini, nescaya aku akan mencari jalan keluar dari kemarahannya dengan berbagai alasan. Tetapi demi Allah! Aku tahu benar, jika aku berdusta kepada Anda sekarang, mungkin Anda menerimanya. Tetapi aku sungguh takut Allah akan sangat murka kepada ku. Dan jika aku berkata benar kepada Anda, tentu Anda akan marah kepada ku. Namun aku masih dapat mengharapkan kemaafan dari Allah Ta'ala. Demi Allah! Aku tidak mempunyai uzur (alasan) suatu apa jua pun. Bahkan aku belum pernah sesihat dan selapang seperti sekarang ini di mana aku tidak turut berperang bersama-sama Anda." Sabda Rasulullah saw., "Betul begitu? Nah, pergilah sampai Allah memutuskan perkara mu." Beberapa orang dari Bani Salamah turut bangkit bersama-sama dengan ku dan mengikuti ku. Kata mereka kepada ku, "Demi Allah! Kami tahu benar bahawa engkau belum pernah salah sekali jua pun sebelum ini. Mengapa engkau tidak minta maaf saja kepada Rasulullah saw. seperti orang-orang lain yang tidak turut berperang itu? Nescaya dosa mu diampun Allah berkat permohonan ampun dari Rasulullah saw. bagi mu." Kata Ka'ab. "Demi Allah! Mereka selalu menyalahkan ku seperti itu sehingga aku berniat hendak kembali kepada Rasulullah saw. dan menarik pengakuan ku semula." Aku bertanya kepada mereka, "Adakah orang lain yang menerima hukuman seperti aku?" Jawab mereka, "Ada! Iaitu dua orang yang mengaku bersalah seperti engkau, lalu keduanya mendapat putusan seperti yang diputuskan kepada mu." Tanya ku, "Siapa mereka?" Jawab mereka, "Murrah bin Rabi'ah Al 'Amid dan Hilal bin Umaiyah Al Waqifi." Mereka mengatakan kepada ku bahawa mereka berdua adalah orang-orang saleh yang turut dalam peperangan Badar, dan orang-orang yang patut dijadikan teladan. Setelah mereka menerangkan hal kedua orang itu, aku pun berlalu. Kata Ka'ab, "Rasulullah saw. melarang kaum muslimin bercakap-cakap dengan kami bertiga yang tidak ikut berperang. Kerana itu orang banyak menjauhi (memboikot) kami. Sikap mereka berubah terhadap kami sehingga aku merasa seperti orang asing di negeri yang ku diami, di mana penduduknya aku kenal selama ini. Hukuman seperti itu ku alami selama lima puluh hari. Kedua orang teman yang senasib dengan ku tetap saja tinggal di rumah mereka dan menangis selalu. Tetapi aku lebih muda dan lebih kuat dari mereka. Aku tetap keluar seperti biasa, menghadiri solat berjemaah dan pergi ke pasar walau tidak seorang jua pun yang mahu berbicara dengan ku. Bahkan aku tetap mendatangi Rasulullah saw. dan memberi salam kepada beliau ketika beliau berada dalam majlis taklim sesudah solat. Aku bertanya dalam hati ku, "Adakah beliau menggerakkan bibir beliau untuk menjawab salam ku, atau tidak?" Aku pun solat berdekatan dengan beliau sambil menjeling kepada beliau. Setelah selesai solat beliau menengok kepada ku, tetapi bila aku menoleh kepadanya beliau membuang muka dari ku. Setelah suasana diboikot kaum muslimin seperti itu berjalan agak lama, pada suatu hari aku pergi ke rumah Abu Qatadah, anak pakcik (saudara sepupu) ku, dan orang yang sangat sayang kepada ku. Aku memberi salam kepadanya. Tetapi demi Allah, dia tidak menjawab salam ku. Lalu aku berkata kepadanya, "Ya, Abu Qatadah! Aku bertanya kepada mu, tidak tahukah kamu bahawa aku tetap mencintai Allah dan Rasul-Nya?" Dia diam saja. Aku tanya lagi, tetapi dia tetap membisu. Lalu ku tanya lagi. Maka jawabnya, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu." Air mata ku mengalir mendengar jawapannya, lalu aku berpaling dan terus pulang. Pada suatu hari ketika aku sedang berjalan di pasar, seorang petani penduduk Syam yang sering menjual makanan di Madinah bertanya, "Siapa yang dapat menunjukkan Ka'ab bin Malik kepada ku?" katanya. Orang banyak menunjuk kepada ku. Petani itu mendatangi ku dan memberikan sepucuk surat berasal dari Raja Ghassan. Aku memang pandai membaca dan menulis. Lalu ku baca surat itu, yang isinya antara lain sebagai berikut : "Amma ba'du. Kami mendengar khabar bahawa Anda diboikot oleh teman-teman Anda. Allah tidak akan membuat Anda terhina dalam negeri dan tidak pula tersia-sia. Temuilah kami, nescaya kami akan membantu Anda dengan segala daya dan yang ada pada kami." Selesai membaca surat itu lalu kata ku, "Ini suatu ujian juga!" Maka ku dekat api lalu ku bakar surat itu. Setelah berlalu empat puluh hari dan wahyu turun kepada Rasulullah saw. maka datanglah seorang utusan beliau kepada ku seraya berkata, "Rasulullah saw. memerintahkan kamu supaya menjauhi isteri mu!" Tanya ku, "Apakah aku harus meceraikannya atau bagaimana?" Jawabnya, "Tidak! Hanya menjauhinya. Kerana itu jangan kamu dekati dia!" Beliau juga mengutus orang kepada kedua teman yang senasib dengan ku, dengan perintah yang sama. Maka ku katakan kepada isteri ku, "Pulanglah kamu ke rumah orang tua mu dan tinggallah bersama mereka sampai Allah memberi keputusan terhadap perkara ku ini." Kata Ka'ab, "Isteri Hilal bin Umaiyah datang kepada Rasulullah saw. memohon keringanan kepada beliau, katanya : Ya Rasulullah! Hilal bin Umaiyah sudah tua. Dia akan tersia-sia tanpa khadam (pelayan). Apakah Anda keberatan kalau aku menjadi pelayannya?" Jawab beliau, "Tidak mengapa, asal dia tidak mendekati mu." Kata isteri Hilal, "Demi Allah! Dia tidak mempunyai keinginan apa-apa. Bahkan demi Allah, dia selalu menangis saja sejak menerima hukuman sampai hari ini." Kerana itu sebahagian keluarga ku menyarankan pula kepada ku, "Seandainya engkau minta izin kepada Rasulullah saw. mengenai isteri mu, mungkin beliau memberi izin kepada mu seperti halnya isteri Hilal bin Umaiyah diberi izin oIeh beliau melayani Hilal." Jawab ku, "Aku tidak akan memintakan izin kepada beliau untuk isteri ku. Aku tidak tahu pasti apakah Rasulullah saw. akan memberi izin atau tidak. Aku masih muda dan sanggup mengurus diri sendiri." Keadaan membujang seperti itu telah berlalu pula sepuluh hari. Jadi sudah lima puluh hari sejak hari pertama kami mulai diboikot. Kemudian, sesudah aku solat Subuh di atas loteng rumah kami, pagi-pagi sesudah malam yang kelima puluh, ketika aku memikirkan nasib kami sesuai dengan apa yang diperingatkan Allah kepada kami, di mana bumi ini terasa amat sempit dengan segala kelapangan yang ada, tiba-tiba terdengar oleh ku suara memanggil dengan sekuat-kuatnya, "Ya, Ka'ab bin Malik! Gembiralah, Aku segera sujud, kerana aku yakin kelapangan telah tiba. Rasulullah saw. telah memberi tahu orang banyak, bahawa Allah swt. telah menerima taubat kami ketika solat Subuh. Kerana itu orang banyak datang mengucapkan selamat kepada ku dan sesudah itu mereka pergi pula kepada kedua orang teman ku. Di antara mereka ada yang berlari dan ada pula yang berkenderaan. Bahkan ada seorang teman dari suku Aslam sengaja menemui ku melalui bukit. Suara-suara mengelu-ngelukan ku lebih cepat sampai ke telinga ku dari kuda mereka. Ketika suara ucapan selamat untuk menggembirakan ku dari orang yang pertama-tama sampai ke telinga ku, dengan spontan ku buka baju ku lalu ku berikan kepadanya kerana sangat gembira. Padahal demi Allah, ketika itu aku tidak mempunyai baju selain baju tersebut, sehingga aku terpaksa meminjam (ketika menghadap Rasulullah saw. Aku pergi menghadap Rasulullah saw. Setiap orang yang bertemu dengan ku mengucapkan selamat kerana taubat ku telah diterima Allah swt. Kata mereka, "Bahagialah Anda kerana taubat Anda telah diterima Allah swt." Aku masuk ke masjid. Ku dapati Rasulullah saw. sedang duduk dikelilingi para sahabat. Thalhah bin 'Ubaidillah segera bangkit dan berlari menyambut ku serta menyalami ku sambil mengucapkan selamat. Demi Allah, tidak ada orang Quraisy yang berdiri selain dia. Kerana itu pula aku tidak melupakan Thalhah. Setelah aku memberi salam kepada Rasulullah saw., maka dengan muka berseri-seri kerana gembira beliau berkata, "Gembiralah kamu dengan kebaikan yang kamu terima hari ini, yang belum pernah kamu terima sejak kamu lahir." Tanya ku, "Apakah kebaikan itu datang dari Anda atau dari Allah Ta'ala?" Jawab beliau, "Bahkan dari Allah Ta'ala!" Biasanya apabila Rasulullah saw. gembira, wajah beliau bersinar-sinar bagaikan bulan. Kami tahu benar akan hal itu. Setelah aku duduk di hadapan beliau, aku berkata kepadanya, "Ya, Rasulullah! Kerana taubat ku diterima Allah, maka aku hendak menyedekahkan harta ku kepada Allah dan Rasul-Nya." Jawab Rasulullah saw., "Tahanlah sebahagian harta mu itu. Itulah yang baik!" Jawab ku, "Aku akan menahan harta yang ku peroleh di Khaibar." Kata ku selanjutnya, "Ya, Rasulullah! Allah telah melepaskan ku kerana berkata benar. Maka untuk kesempurnaan taubat ku, aku tidak akan berkata-kata selamanya melainkan yang benar." Kata Ka'ab selanjutnya, "Aku tidak tahu seorang muslim yang pernah diuji Allah kerana berkata benar, semenjak aku berkata demikian kepada Rasulullah saw. hingga sekarang. Itulah cubaan terbaik yang dilakukan Allah Ta'ala kepada ku. Demi Allah, aku berjanji tidak akan pernah berdusta. Aku berharap kepada Allah semoga Dia memelihara ku sampai akhir hayat ku, Maka turunlah ayat-ayat surat Taubah, 9 :117 - 119, sebagai berikut: "Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang muhajirin, dan orang-orang Ansar yang mengikut Nabi dalam masa kesulitan, setelah hati segolongan mereka hampir berpaling, kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada mereka." (9: 117), "Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (permintaan taubat mereka) hingga apabila bumi telah menjadi sempit bagi mereka, padahal bumi itu sebenarnya tetap luas, dan jiwa pun telah sempit (pula terasa) oleh mereka, serta mereka telah mengetahui bahawa tidak ada tempat lari dari (seksa) Allah, melainkan kepada-Nya saja. Kemudian Allah menerima taubat mereka, agar tetap dalam taubatnya. Sesungguhnya Allah-lah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang." (9:118). "Hai, orang-orang yang beriman, takwalah kepada Allah, dan hendaklah kamu bersama-sama orang-orang yang benar."(9:119). Cerita Ka'ab selanjutnya, "Demi Allah! Belum pernah aku merasakan nikmat pada diri ku sejak aku masuk Islam yang lebih besar daripada ketika aku berkata benar terhadap Rasulullah saw. Seandainya aku berdusta kepada beliau nescaya celakalah aku seperti orang-orang yang pernah berdusta, sebagai dinyatakan dalam firman Allah Ta'ala: "Kelak mereka akan bersumpah kepada mu dengan nama Allah apabila kamu kembali kepada mereka, supaya kamu berpaling dari mereka. Maka berpalinglah dari mereka, kerana sesungguhnya mereka itu adalah najis dan tempat mereka jahannam; sebagai balasan atas apa yang telah mereka kerjakan." (9: 95) "Mereka akan bersumpah kepada mu, agar kamu redha kepada mereka. Tetapi jika sekiranya kamu redha kepada mereka, maka sesungguhnya Allah tidak ridha kepada orang-orang yang fasik itu." (9:96). Cerita Ka'ab selanjutnya, "Kami bertiga tertinggal, maksudnya tertinggal bertaubat dari mereka-mereka yang telah diterima taubatnya oleh Rasulullah saw. secara lahir (sedang batinnya terserah kepada Allah swt.), serta dimohonkan ampun oleh beliau kepada Allah Ta'ala. Sedangkan terhadap kami bertiga Rasulullah menangguhkannya hingga datang keputusan Allah swt. Itulah yang dimaksud dengan firman Allah Ta'ala: Dan tiga orang yang tertinggal (9: 118), bukan tertinggal tidak ikut berperang, tetapi penerimaan taubat kami ditangguhkan."

35  
Hadis Sunan At-Termizi Jilid 1. Hadis Nombor 0184.
Qutaibah menceritakan kepada kami, Jabir menceritakan kepada kami dari'Atha' bin Sa'ib dari Sa'id bin Jubair dari Ibnu Abbas berkata:Nabi saw hanyalah solat dua rakaat setelah solat asar kerana diaturkan harta lalu beliau sibuk [sehingga beliau tidak mengerjakan ]dua rakaat setelah zohor lalu beliau mengerjakan dua rakaat itu setelah solat Asar.Kemudian beliau tidak mengulanginya". Di dalam bab ini terdapat hadis dari Aisyah,Ummu Salamah,Maimunah, dan Abu Musa.Abu Isa berkata : "Hadis Ibnu Abbas adalah hadis hasan".tidak hanya seorang telah meriwayatkan dari Nabi saw bahawasanya beliau solat dua rakaat setelah solat Asar.Ini adalah perbezaan apa yang diriwayatkan dari beliau melarang solat setelah solat Asar sehingga terbenam matahari.Hadis Ibnu Abbas lebih sahih di mana ia berkata :Beliau tidak mengulanginya:. Telah diriwayatkan dari Zaid bin Tsabit seperti hadis Ibnu Abbas. Telah diriwayatkan Aisyah di dalam bab ini,iaitu: Diriwayatkan daripadanya bahawasanya Nabi saw tidak masuk kepadanya setelah Asar kecuali beliau solat dua rakaat. Dan diriwayatkan dari padanya dari Ummu Salamah dari Nabi saw bahawasanya beliau melarang solat setelah solat Asar sehingga terbenam matahari, dan setelah solat Subuh sehingga terbit matahari. Sesuatu yang disepakati oleh sebahagian besar ahli ilmu adalah makruhnya solat setelah Asar sehingga terbenam matahari, dan setelah solat subuh sehingga terbitnya matahari kecuali sesuatu yang dikecualikan dari yang demikian itu, seperti solat di Mekah setelah solat Asar sampai terbenam matahari, dan setelah solat Subuh sehingga terbit fajar setelah tawaf. Kerana telah diriwayatkan keringanan (rukhsah) mengenai hal itu dari Nabi saw. Suatu kaum dari ahli ilmu dari kalangan para sahabat Nabi saw dan orang-orang yang sesudah mereka berpendapat demikian. Dan juga Asy Syafi'i, Ahmad dan Ishaq. Suatu kaum dari ahli ilmu dari kalangan para sahabat Nabi saw dan orang-orang setelah mereka juga memakruhkan solat di Mekah setelah solat Asar dan Subuh. Dengannya Sufyan Ats Tsauri, Malik bin Anas dan sebahagian penduduk Kufah berpendapat.

36  
Hadis Sahih Muslim Jilid 1. Hadis Nombor 0487.
Dari Al Aswad dan 'Alqamah r.a., keduanya bercerita: "Kami mendatangi 'Abdullah bin Mas'ud di rumahnya. Lalu dia bertanya, "Apakah mereka itu solat di belakangmu?" Jawab kami, "Tidak." Katanya "Bangunlah, mari solat. Dia tidak menyuruh kami azan dan qamat. Lalu kami berdiri di belakangnya, Kemudian ditariknya tangan kami, lalu masing-masing kami ditempatkannya di sebelah kanan dan kirinya. Ketika rukuk, kami meletakkan tangan kami di lutut, tetapi Abdullah memukulnya. Dia mempertemukan kedua tapak tangannya lalu memasukkannya ke antara dua pahanya. Tatkala telah selesai solat dan mengundur-ngundur waktu hingga hampir habis. Apabila kamu lihat hal itu betul-betul telah terjadi, maka solatlah kamu sendirian pada awal waktu, kemudian solat pulalah berjemaah bersama-sama dengan mereka untuk mengambil sunat (menjaga fitnah). Apabila kamu bertiga, solatlah bersama-sama, dan apabila kamu lebih banyak, angkatlah salah seorang menjadi imam. Apabila kamu rukuk, letakkan kedua lenganmu di atas kedua paha sambil membungkuk. Dan pertemukan kedua tapak tanganmu. Aku seperti masih melihat Rasulullah saw. mempersilangkan anak-anak jari beliau. Lalu Abdullah memperagakannya kepada mereka."

37  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0616.
Dari 'Itban bin Malik r.a., iaitu seorang sahabat Nabi saw. dari golongan Ansar yang turut dalam peperangan Badar, dia datang kepada Nabi saw. lalu berkata: "Ya, Rasulullah! Aku sudah buta. Sedangkan aku menjadi imam solat bagi wargaku. Apabila hari hujan, air mengalir di lembah antara rumahku dengan rumah-rumah mereka, sehingga aku tak dapat datang ke masjid mengimami mereka solat berjemaah. Kerana itu aku mengharapkan semoga anda sudi datang ke rumahku, lalu di sana anda solat di tempat ku solat dan kemudian menjadikannya Mushalla. Jawab Rasulullah saw. "Baiklah! Insya Allah aku akan datang. Besok, ketika hari telah agak siang, Rasulullah saw. dan Abu Bakar Siddiq datang. Beliau minta izin masuk. Lalu ku persilakan. Tanpa duduk lebih dahulu beliau langsung menanyakan. "Di manakah anda sukai aku solat di rumah mu ini?" Aku menunjuk ke salah satu pujok rumah. Rasulullah berdiri di sana lalu beliau takbir. Kami berdiri di belakang beliau, mengikuti beliau solat dua rakaat. Kemudian memberi salam. Sesudah itu kami jamu beliau dengan hidangan sup daging yang telah kami sediakan untuk beliau. Penduduk kampung berkumpul semuanya ke rumah ku. Seorang di antaranya bertanya, "Mana Malik bin Dukhsyun?" Yang lain menjawab, "Dia itu munafik! Dia tidak suka kepada Allah dan Rasul-Nya." Maka bersabda Rasulullah saw., "Jangan berkata begitu terhadapnya. Bukankah anda telah menyaksikannya mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah?" Jawab mereka, "Allah dan Rasul-Nyalah yang lebih tahu." Kami mendapat kesan, bahawa Rasulullah saw. mengarahkan nasihatnya itu kepada orang-orang munafik. Sabda beliau, "Sesungguhnya Allah mengharamkan api neraka bagi orang-orang yang telah mengucapkan kalimah "La ilaha illallah" dengan ikhlas kerana Allah. "

38  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0319.
Kata Jabir r.a.: "Nabi saw. solat Zohor di tengah hari, solat 'Asar ketika matahari masih bersinar terang, Maghrib setelah matahari terbenam, dan solat 'Isya berubah-ubah kerana keadaan. Apabila beliau melihat jemaah telah berkumpul untuk solat Isyak, beliau lakukan segera, dan apabila beliau lihat mereka terlambat datang, maka beliau undur pula solat Isyak. Sedangkan solat Subuh mereka atau Nabi saw. melakukannya pada waktu gelap pagi."

39  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0735.
Dari 'Urwah bin Zubair, katanya 'Aisyah bercerita kepadanya: "Rasulullah saw. pernah keluar tengah malam lalu beliau solat di masjid. Mula-mula beliau diikuti oleh beberapa orang sahabat. Tetapi mereka khabar-mengabarkan bahawa Rasulullah saw. solat di masjid. Sehinga mengikuti beliau akhirnya jadi tambah banyak. Malam kedua beliau keluar pula, dan para sahabat bertambah banyak yang mengikuti beliau solat. Pada malam ketiga masjid sudah penuh. Pada malam keempat masjid penuh sesak sehingga tidak dapat menampung jemaah yang ada. Tetapi Nabi saw. keluar lagi kepada mereka. Kerana itu beberapa orang lelaki di antara mereka berkata: "Solat!" Namun Nabi saw. tidak juga keluar mendapatkan mereka hingga Subuh. Setelah selesai solat Subuh beliau menghadap kepada orang ramai, kemudian beliau tasyahud, lalu bersabda: "Aku tahu apa yang anda lakukan tadi malam. Tetapi aku takut kalau solat (Tarawih) itu menjadi wajib atas anda sekalian, sehingga anda tidak sanggup mengerjakannya."

40  
Hadis Sahih Muslim Jilid 2. Hadis Nombor 0621.
Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah saw. bersabda : "Solat berjemaah pahalanya melebihi solat sendirian yang dilakukan di rumah atau di kedai dua puluh sembilan darjat. Yang demikian itu ialah apabila seseorang berwuduk sebaik-baiknya, kemudian dia pergi ke masjid tanpa maksud lain yang mendorongnya kecuali hanya solat. Maka setiap langkah yang dilangkahkannya meningkatkan darjatnya satu darjat, serta menghapus satu dosa daripadanya sampai dia masuk ke dalam masjid. Setelah berada dalam masjid, dia dipandang seperti dalam solat selama menunggu waktu solat tiba. Sedangkan malaikat sentiasa mendoakannya. selama dia masih berada di tempatnya solat, dan Wuduknya belum batal. Katanya, "Wahai, Allah! Berilah dia rahmat. Ampunilah dia dan terimalah taubatnya."